Monday, November 28, 2011

Warkah Kepada Tuhan


Kehadapan Tuhanku Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, ku menadah tangan memohon perlindungan dan kesejahteraan dunia dan akhirat.

Tuhanku Yang Maha Mendengar,
Hambamu ini yang hina dan lemah menulis  kepadaMu Tuhanku yang Maha Mulia dan Maha Kuat mengenai urusan duniaku yang penuh mehnah dan ujian. Kau ciptakan hambamu ini ke dunia dengan tujuan yang telah kau nyatakan jelas dalam Al- Quran. Mafhum FirmanMu dalam Surah Adzaariat, ayat 56 yang berbunyi:
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku “

Dengan itu, ku tetapkan solatku, ibadatku, hidupku dan matiku keranaMu. Namun Tuhanku, perjalanan memanifestasi tujuan hidupku tidak semudah  mengimpikan pelangi selepas hujan. Bagaikan berlayar  di lautan yang bergelora dipukul ombak, penuh cabaran dan rintangan. Mencari arah daratan agar tak tersesat dalam menentukan haluan. Justeru, ku cari azimat dalam wahyu cintaMu pada RasulMu, ku temui firman agungMu dalam surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud:

”Jika engkau telah menetapkan keputusan, hendaklah kemudian bertawakal kepada Allah”

Tuhanku Yang Maha Pengasih,

Indahnya  hidup berTuhankanMu. KasihMu pada hambaMu melangit luas,penuh rahmat dalam ujian. Resah hati hambaMu kau rawati dengan pergantungan tak berbelah bahagi kepadaMu Tuhan. Kerna hanya Kau Tuhanku yang mengetahui hal yang terbaik untuk hambaMu.

Tuhanku Yang Maha Memberi,

Ku sedari Syurga itu mahal harganya. Takkan dapat digapai tanpa berusaha. Kerna itu, man jadda wa jada ; sesiapa yang berusaha pasti akan berjaya. Itu sunatullahMu yang Kau hadiahkan buat hambaMu yang berusaha. Akan ku siap siagakan usaha sehabis daya dan akhirnya penyerahan penuh kehambaan hanya kepadaMu, Tuhan pemilik sekalian alam.

Akhir kalam ku Tuhan, kan ku cari ruang mustajab merafak doa kepadaMu,dengan penuh pengharapan hanya Kau yang mampu merealisasikan segalanya. Ku pohon keampunan kekhilafan dan kelemahan diriku sebagai hamba di bumi Tuhan.

Sekian, Allahuakbar

Hamba Allah




Monday, November 7, 2011

Ceritera Ukhuwah Musim Bunga

Merenung bunga- bunga mekar lewat Musim Bunga,
melekakan redup mata yang memandang,
hingga terlupa akan ada akhir sebuah pertemuan
seperti tamatnya kisah musim bunga ini bila musim panas menjelang

Kisah Musim Bunga kali ini,
bukan baru bermula tapi akan bakal berakhir
kisah yang awalnya dimulai dengan lafaz Al-Fatihah
kan berakhir dengan Tasbih Kafarah
Bukan hanya kisah Musim Bunga antara si kumbang dengan si flora
Bukan juga kisah teruna dan dara
Tapi kisah ukhuwah kerana Allah yang begitu menguja
hingga benar - benar buat KITA terlupa
musim panas makin menghampiri kita.

Kekanda,
Terasa ingin sekali ku sujud merayu pada Ya Rabb
Jangan, Jangan ditamatkan Musim ini
Biar ia kekal begitu seperti ukhuwah kita yang makin kian mekar
seperti mekar si mawar merah di taman yang sering kita lawati.
Namun aku sedar,
ia takkan pernah terjadi kerna sunnah alam tetap menuruti perintah Ilahi

kekandaku,
biarlah, biarlah ceritera Musim bunga hanya sampai di sini
biarkan tasbih kafarah dilafaz walau berat di hati
kerna aku pasti ukhuwah kita bukan seperti bunga, mekar namun akhirnya layu dan gugur ke bumi
Ukhuwah kita manifestasi iman berpasakkan Rabbul Izzati
Akan terus berkembang walau musim mana yang mendasari
Akan terus bercambah dari hari ke hari
Walau di batasi jarak dan masa nanti
Selagi IMAN DAN ISLAM menjadi pegangan hakiki.

Maralah kekandaku ke medan amal yang sebenar
Akan ku turuti suatu hari nanti
Bergabung denganmu mengemaskan barisan kita
Mengerat ukhuwah yang pernah terjalin
Andai ditakdir kita tak sempat bersama
Izinkan daku menjadi temanmu di Syurga...



Tuesday, November 1, 2011

Wanita Dunia

Kita ini wanita DUNIA,
Diamanahkan TUHAN untuk berIBADAT dan menjadi KHALIFAH
Moga kita kan terus menjadi wanita DUNIA yang taat dalam berIBADAT dan menjadi KHALIFAH..

Kita ini wanita DUNIA,
Dihiasi INDAH dengan kecantikan WAJAH dan terpelihara MARUAH
Moga kita akan selalu MENJAGAnya dengan AURAT dan AKHLAK MULIA..

Kita ini wanita DUNIA,
Diberi 9 NAFSU dan 1 AKAL
Moga AKAL yang SATU sentiasa meMIMPIN  9 NAFSU berlandaskan AKIDAH dan SYARAK..

Kita ini wanita DUNIA,
Yang bakal menjadi seorang ISTERI dan IBU
Moga kita dapat menjadi ISTERI yang SOLEHAH dan IBU yang SOLEHAH untuk melayakkan KITA menjadi WANITA DI SYURGA ~ Insya Allah




Umar Al - Khattab : Mujahid Pembela Kebenaran

Menjemput hati ke ruangan cerita

Suatu ketika Umar ditegur seorang lelaki dari bani zuhrah, Nu'aym B. abdullah namanya.
Katanya, adik perempuan Umar yg bernama Fatimah telah masuk Islam bersama suaminya.
Tatkala mendengarnya, marah Umar bukan kepalang, terasa hina dikhayalak semua
Mara beliau mencari adiknya hingga terlupa tujuan asal membunuh baginda

Sampai di rumah Fatimah, kedengaran...
(Bacaan surah Thaha ayat 13-14)

Luluh hancur mengalir air mata
Islamlah Umar di hadapan Rasullulah



Kuasa Maha pencipta tak siapa mampu menghalang
Untuk sejalur cahaya menyuluh hati sang helang
Kata-kata cinta dari Dia melunak rasa seorang hamba
Kini terasa hina dan dina
Atas segala kedurhakaan pada Yang Maha Berkuasa
Tunduk dia merendah jiwa.

Benar sabda baginda
Andai jahiliyahmu hebat di mata mereka
Kini keislamanmu memandu hebat ke jalan sempurna
Kau penolong sahabat setia
rela menongkah arus durjana
demi Islam berdaulat semula

Tak siapa kan menjangka
Hati sekeras batu kini lembut sujud di atas sejadah cinta
Basah bibirmnu melafaz asma yang esa
bah wajahmu dengan linangan air mata
Gentar dirimu tatkala baginda bicara "semua ke syurga kecuali dia"
Kerna kau bimbangi dialah dirimu

Siangmu bagai singa di rimba
Malammu bagai rahib merintih sayu
Bukan harta,pangkat dan dunia yang kau damba
Tapi cinta Allah dan Rasulnya bersatu dihatimu

Kaulah Umar Pahlawan pembeda
Antara Yang Hak dan Yang Batil.

 Tribute WT'11 : Menyingkap Tabir Di bumi Australia

Ramadan Dua Zaman

Ramadan dua zaman
melatari 2 episod kehidupan
kisah dalam pentas dunia yang sama
dengan pelakon dan skrip yang berbeda
variasi warna dan rasa

Ramadan dua zaman
Buat kita mengembara ke dua waktu
Antara lipatan sejarah agung dan cerita masa kini
Antara seerah mulia kenabian dan cerekarama seorang insan
Dan kita menjadi penyaksi kepada natijah mereka

Ramadan dua zaman
asbab iman untuk menilai
antara kaca dan permata
asbab hati untuk muhasabah
nilai ramadan di sisi Dia
kerana di zaman ITU ramadan amat dirindui dan dihayati
dan di zaman INI ramadan ibarat datang tak diundang pulang tak di halang
Dan kita berada di zaman INI.

Ramadan zaman pertama
dihiasi alunan suci kalam Tuhan
di hening sunyi tafakur atas sejadah keimanan
berlumba mencari kenikmatan malam 1000 bulan
Infak dan sedekah manifestasi ukhuwah kerana Allah
dan puasa melebihi menahan lapar dan dahaga
kerana ramadan rahmat dan hadiah dari yang Maha Pemurah

Ramadan zaman kedua
ialah kisah makanan melimpah ruah
bukan rezeki untuk si miskin dan yatim
tapi untuk penuhi perut sendiri lantaran seharian menahan letih
puasa hanya lapar dan dahaga
tapi mata, hati, tangan dan lidah tetap melakar dosa
siangnya berlagu irama riuh pekik pedagang berjual
malamnya berdendang dengkuran kenyang terlantar

Masa akan terus melangkah
Waktu akan terus menginjak
Tinggal kita untuk melihat dan mentafsir
kisah episod ramadan dua zaman


~Adelaide:19.10,Ramadan 7
srikandi ummah