Tuesday, October 18, 2011

Musim Bunga kali ini

Berjalan seorang diri ditemani bunga-bunga indah musim "spring" kala pulang daripada tempat daku bekerja sambilan membuatkan mata bagaikan disihir dengan warna-warni flora yang begitu mengasyikkan. Terasa lelah membersihkan rumah majikan seakan hilang dengan aroma terapi lavender dan mawar yang kian mengembang. Subhana Allah, betapa Maha Suci Allah yang menciptakan keindahan Musim Bunga untuk meraikan fitrah hambaNya yang sukakan keindahan dan sesungguhnya Dia Maha Indah.




Merenung kelopak Mawar Merah Jambu yang gebu berkembang terasa seperti ada sesuatu yang hadir dalam diri. Sesuatu yang indah dan damai seperti Musim Bunga. Setiap hari dalam Musim Bunga bagaikan berada dalam ketenangan dan kedamaian. Masakan tidak, Musim Bunga yang menjanjikan erti memberi dan menerima. Bunga - bunga harum memberi rasa manis madu kepada sang kumbang dan sang kumbang menerima dengan pertolongan menyebarkan benih-benih bunga ke seluruh pelosok alam. Bukankah di situ terdapat ibrah untuk yang berhikmah?






Rasa hati untuk memberi dan menerima itu ikut berkembang seperti bunga - bunga Musim Bunga ini dan kian bertambah dari hari ke hari. Membiarkan tanpa penjagaan, bimbang kan nanti kembangnya hanya sementara dan mungkin kan layu tanpa perhatian atau hanya terbiar tumbuh liar. Menjaganya dengan penuh kemanjaan, risau nanti membawa mudarat kepada penjaganya. Maka itu, rasa ini perlu diurus dengan keimanan dan ketakwaan, kerana itu pandangan neraca dari Tuhan yang takkan pernah tersilap.

Menjaga bunga - bunga Musim ini perlukan persediaan yang lengkap dan rapi. Biar jangan tergopoh kerana lembutnya kelopak bunga dan rapuh batangnya. Biar nanti Musim Panas yang datang bunga - bunga ini masih terus berkembang dan makin erat akarnya mencengkam  tanah. Kerna itu, daku berazam untuk Bunga Musim kali ini izinkan untuk dahan-dahan itu terus bercambah dan menjadi tempat bunga berpaut untuk berkembang dan mekar kerana itu fitrah alam  dan permulaan kepada sebuah kehidupan.






Dengan nama Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang daku mulakan perjalanan ceritera sebuah persediaan, Insya Allah

Bila Tuhan sudah mengizinkan
 ~Srikandi

0 comments: