Sunday, November 25, 2012

Palestin: Aku dan Mereka

Kita gempar lagi
Dengan berita daripada tanah sekangkang kera
Kisah penganiayaan manusia yang tak surut
Dari generasi ke generasi
Terus menerus berterusan
Menyampaikan kepada kita
Mereka masih belum bebas!

Kita gempar lagi
Tapi sebenarnya kita sahaja yang baru gempar dengan kisah mereka
Mereka tak pernah terkejut untuk diserang
Mereka tak pernah rasa pelik untuk peluru lagi bertandang
Mereka tak pernah serik untuk menentang
Kisah perjuangan mereka memang sudah jadi resam budaya
Cuma kita yang bagai tersedar dari lena yang panjang
Mereka diserang lagi

Sebenarnya sahabatku,
Aku tidak pernah 'kisah' dengan air mata dan darah derita mereka
Mungkin kau akan mengata aku tak peduli
Mungkin kau bilang aku tak simpati
Mungkin kau label aku tiada hati
Saudara seperti apa aku ini???

Tetapi percayalah saudariku,
Untuk apa aku takut mereka diserang
andai mati mereka nanti ialah mati memperjuang agama
Untuk apa aku pilu dengan syahid anak tak berdosa
andai nanti Tuhan  sudah berjanji syurga buat mereka
Untuk apa aku ragu suatu masa mereka akan aman semula
kerana itu janji Tuhan kepada kita

Apa yang ku bimbang ialah KITA sebenarnya
Di mana nilai kita sebagai hambaNya?
Di mana perjuangan kita untuk agama?
Di mana akhir kita nanti bila sampai ajalnya?
Kita cakna bila kita terjaga daripada lena dengan gempar mereka
Lalu bila mereka dicanang sudah dimeterai perjanjian damai dengan musuh laknatullah
Kita kembali lena semula
Nanti suatu masa heboh mereka diserang lagi
Terjagalah kita semula
Bagaikan kisah mereka 'jam loceng' yang membangkitkan insan daripada lena
Hanya bersifat sementara

Sahabatku yang disayangi,
Mereka takkan pernah aman
selagi kita masih ditakuk lama
Kisah perjuangan mereka bukan kisah perjuangan membebas negara semata
Tapi petanda kondisi ummat sebenarnya
Andai wahan (takut mati dan cintakan dunia) masih menyelimuti kita
Jangan kita mimpi Palestin akan merdeka!

Aku menulis dan berkata,
maka akulah yang pertama akan ditanya
Sudahkah aku menyempurnakannya?...





Tuesday, October 30, 2012

luahan rasa bicara kata


Kehadapan sahabat yang aku sayangi kerana Allah
Maafkan aku kerana kerap, banyak dan selalu meyakiti hatimu,
Membuatmu sedih, terluka dan kecewa..
Memang akulah yang tidak pernah menghiraukan beban sakit yang kau tanggung
Sendirian...
Memang akulah yang tidak pernah mengambil ruang untuk mengerti dan memahami dirimu
Setiap waktu..
Memang aku sang ego yang tidak mahu berhenti sejenak dan muhasabah yang aku sebenarnya
patut memadam api yang kian marak itu.

Sahabatku,
Kini tak tertanggung rasa hati ini yang kian hari kian menjauh perasaannya kepada mu
Malu aku pada diri sendiri..
Mengajak orang menyemai benih ukhuwah tapi aku yang meranapkan pohon ukhuwah kita berdua
Aku yang menyebar virus ukhuwah itu bukan mencari penawar kepadanya.
Tidak sekalipon aku cuba untuk menyelami bahawa sesungguhnya terlalu banyak kau pendam  rasa
hati sendiri
Sehingga hilang senyum manis dan gelak tawamu seperti awal perkenalan kita dulu.

Sahabatku,
Sebenarnya aku merindui hangat persahabatan kita dahulu
Aku memeluk erat dirimu tika kau dalam duka
Dan kau memberi kata berkongsi cerita kita bersama
Entah mengapa dan bila?
Semuanya hilang bagai tidak pernah tercipta memori kita bersama
Dan aku sendiri membiarkan ia sepi tak pernah bertamu lagi.

Di akhir kalam ini,
Dah tak mampu aku menahan tembok yang memisahkan ukhuwah kita
Dah tak daya aku memandang dirimu dari jauh, kepingin diriku sama menanggung duka laramu
Sebutlah, beritahu kepada aku bagaimana untuk kau sudi memaafkan kesalahan aku yang terlalu
Banyak kepadamu.
Usah kita biar lagi jarak ini makin meluas dan musuh kita ketawa kerananya
Tapi, mari kita padamkannya dengan ucapan kemaafan daripada aku untukmu sahabatku.

Sesungguhnya benar dari hatiku aku sayang kepadamu sahabatku kerana Allah.

Monday, April 30, 2012

Skrip : Aku ialah Srikandi



Person 1:
Salam semua, Nama saya Aisyah Khadijah. Boleh panggil saya Dija. Pendek je. Saya pelajar kejuruteraan . Tau tak, masa kecil-kecil dulu, saya suka tengok cerita –cerita hero yang menentang penjahat. Rasa diorang tu hebat –hebat. Macam sailormoon, power rangers, power puff girl dan power2 yang lain la. Diorang ada kuasa nak kalahkan musuh dan disukai ramai. Rasa teruja sangat. Bukan macam saya ni, badan dah la kecik, rabun pulak tu. Orang kata saya nerd. Ye ke kawan2?  Saya selalu dibuli teman. Kadang –kadang saya harap hero-hero tu boleh dtg dalam realiti dan selamatkan saya.

*tiba-tiba datang seseorang dan hempaskan buku kepadanya dan kata:

Hah, siapa nak selamatkan kau? Berangan je budak nerd ni. Dah, siapkan assignment aku. Nanti esok pagi aku nak, faham!

Person 1:
Hah, tengoklah tu..saya yang kena selamatkan assignment dia. Huh..
*person 1 keluar.

Person 2:
Membebel pulak dia...
Hi, nama I Khaulah Azwar. Classmate budak nerd tu. I bukan membuli dia, cuma mintak tolong. Hehe. Dija kan budak pandai, apa salahnya I gunakan kepandaian dia. Tak salahkan kawan-kawan? Bukannya apa, I ni sentiasa sibuk. Almaklum, tengokla diri I ni up to date and trendy. Jadi ramai peminat. Setiap hari, I kena check acc fb . Mana tahu ada orang yg add I, mestilah kena approve. Lepas tu, I kenalah tengok website and majalah artis barat atau artis korea untuk tahu fesyen terkini, nanti kalau tak orang kata I ketinggalan zaman.  Artis-artis tu hero bagi I. Diorang je yang memahami jiwa remaja I, yang sukakan fesyen dan lagu.
(sambil keluarkan make up)

*masuk pula orang lain dari tepi

Person 3:
Dah-dahla tu berbedak, dah macam tepung gomak dah kat muka tu.


Person 2 :
You ni kenapa? Lantak la. Yang penting I tak kacau you. Menyampah

*Angkat kaki dan berlalu pergi.

Person 3:
 Eh-eh, ni yang aku cepat panas ni. Sabar diri, sabar (sambil urut dada). Eh, (berhenti melihat penonton)
nama aku Asma Fatimah. Just call me Im. Baru la rugged sikit. AKu memang tak faham dengan orang yang terlampau obsess dengan fesyen ni. Dah macam badut pulak aku tengok. Opss,sorry, aku ni ekstrem sikit. Bagi aku, artis-artis tu nak memperbodohkan kita je, nak kita tiru mereka, nak jadikan idola. Tapi, sebenarnya nak duit kita dan jadi glamour. Semua orang memang ada kepentingan masing-masing. Semuanya nak tunjuk hero...
Entahla, aku memang tak percayakan orang. Mana ada  orang yang buat sesuatu tak harapkan apa –apa.

*sambil person 3 berpeluk tubuh, masuk person 4

Person 4:
Siapa kata tak ada, kalau aku kata ada macammana?

Person 3:
Eh, siapa ni? Apa pulak watak kau dalam cerekarama ni?

Person 4 :
Nama aku Safinatun Najah...bahtera penyelamat. Aku percaya dalam dunia ni ada insan yang buat sesuatu tanpa mengharap balasan daripada manusia. Merekalah hero yang sebenar.

Person 3:
Kau ada bukti? Aku tak suka kalau orang cakap ikut suka dia je.

Person 4:
Kau orang Islam kan? Kau patut lebih memahami agama kau sendiri. Bukan ke Islam mengajar kita untuk berbuat baik kepada orang lain dan mengharapkan balasan syurga semata. Maksud Firman Allah s.w.t dalam Surah Az Zumar, ayat 33-34:

*Ada orang yg bacakan maksud ayat.

Ya, mereka hanya mengharapkan syurga dan redha Allah semata-mata, bukan balasan daripada manusia.

Sajak:
Telah tercatat dari tinta sejarah
Kisah pengorbanan,persahabatan dan keberanian manusia
Bukan pengharapan kepada sanjungan insan
Tapi pengabdian sebagai hamba Tuhan

Bermula daripada kehebatan utusan Allah
Tanpa lelah menyebarkan risalah
Yang punya matlamat menyelamatkan ummah
Daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat


Person 4:
Merekalah hero yang sebenar, hasil didikan junjungan besar Muhammad s.a.w berterusan hinggalah ke hari ini

*person 1 tiba-tiba masuk dengan tergopoh-gapah
 Person 1:
Owh, ye ke? Ada hero yang sebegitu di dunia yang sebenar ni?  Tak tipu? Zaman sekarang pon masih ada hero macam tu? Kat mana? Kat mana? Bagitaula saya, saya nak dia selamatkan saya.

Person 4:
Ada, ada kat sini.

Person 1 :
Kat sini? Mana, tak nampak pon. Awak jangan main –mainkan saya. Awak pon nak buli saya?

Person 4:
Eh, takla, Betulla ada di sini. Saya, awak, dan Im. Kita semua hero. Jika bukan kepada orang lain, sekurang –kurangnya kepada diri kita sendiri. Tapi ada syaratnya.

Person 3:
Apa syaratnya?

Person 4 :
JIka.. misi hidup kita ialah Mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi Khalifah di muka bumi. Maksud Firman Allah dalam  Surah Adzariyat ayat 56 :

*Ada orang yang bacakan maksudnya:

Lagi firman Allah dalam Surah Yunus ayat 14

*Ada orang yang bacakan maksudnya

Bukankah seorang hero itu sentiasa mempunyai misi yang harus diselesaikan. Dan setiap muslim yang mukmin itu mempunyai misi hidup yang perlu dilaksanakannya.

Person 1:
Jadi, maksud awak, saya ialah seorang hero? Tak mungkinlah, tengok saya yang lemah ni, tak mungkin boleh menjadi hero

Person 4:
Mestilah boleh, semuanya bermula dengan tarbiyah islamiyah yang menyeluruh. Mendidik diri kita menjadi individu muslim.

Person 3:
Ok! Fine...aku percaya memang ada hero yang macam tu. Mereka memang buat sesuatu tak harapkan balasan. Aku pernah baca dalam sirah Islam. Lebih-lebih lagi sejarah daripada nama aku sendiri, Asma yang sanggup membantu Nabi dan ayahnya untuk berhijrah walaupun masa tu dia tengah mengandung. Itu semua hasil tarbiyah Nabi kepada para sahabat

*Tiba –tiba datang person 2

Person 2:
Hei budak nerd, apsal kau duduk kat sini lagi, bila nak siapkan assignment aku? Esok aku nak kena hantar

Person 1:
Apa budak nerd? Saya bukan pesuruh kepada orang lain, saya ialah hero kepada diri saya sendiri. Ini ialah tanggungjawab awak, awak harus laksanakan sendiri. Mulai hari ini, saya ingin menjadi hero kepada diri saya dan orang lain. Awak pon kena jadi macam tu. Jangan jadi hamba kepada hiburan yang melampau. Awak perlu menjadi tuan kepada nafsu awak.

*person 1 pergi keluar dari pentas

Person 2:
Apa you merepek ni, Eh, nak g mana tu, jangan tinggalkan I. Siapa nak buat assignment I

Person 3:
Terima kasih kerana menyedarkan aku. Sebelum ni, aku memang tak percaya kepada orang yang berbuat baik kepada orang lain. Tapi, sekarang aku berazam untuk menjadi hero kepada agama ini. Demi matlamat yang telah Allah tetapkan kepada kita

Person 4:
Sama –sama, ini ialah pilihan kita, pilihan aku dan pilihan kau...dan mungkin juga pilihan kepada anda semua. Kami telah memilih untuk menjadi hero. Anda pula bagaimana?

Sekian.


Menelusuri Lembaran Sejarah : Aku ialah Srikandi

Monday, November 28, 2011

Warkah Kepada Tuhan


Kehadapan Tuhanku Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, ku menadah tangan memohon perlindungan dan kesejahteraan dunia dan akhirat.

Tuhanku Yang Maha Mendengar,
Hambamu ini yang hina dan lemah menulis  kepadaMu Tuhanku yang Maha Mulia dan Maha Kuat mengenai urusan duniaku yang penuh mehnah dan ujian. Kau ciptakan hambamu ini ke dunia dengan tujuan yang telah kau nyatakan jelas dalam Al- Quran. Mafhum FirmanMu dalam Surah Adzaariat, ayat 56 yang berbunyi:
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku “

Dengan itu, ku tetapkan solatku, ibadatku, hidupku dan matiku keranaMu. Namun Tuhanku, perjalanan memanifestasi tujuan hidupku tidak semudah  mengimpikan pelangi selepas hujan. Bagaikan berlayar  di lautan yang bergelora dipukul ombak, penuh cabaran dan rintangan. Mencari arah daratan agar tak tersesat dalam menentukan haluan. Justeru, ku cari azimat dalam wahyu cintaMu pada RasulMu, ku temui firman agungMu dalam surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud:

”Jika engkau telah menetapkan keputusan, hendaklah kemudian bertawakal kepada Allah”

Tuhanku Yang Maha Pengasih,

Indahnya  hidup berTuhankanMu. KasihMu pada hambaMu melangit luas,penuh rahmat dalam ujian. Resah hati hambaMu kau rawati dengan pergantungan tak berbelah bahagi kepadaMu Tuhan. Kerna hanya Kau Tuhanku yang mengetahui hal yang terbaik untuk hambaMu.

Tuhanku Yang Maha Memberi,

Ku sedari Syurga itu mahal harganya. Takkan dapat digapai tanpa berusaha. Kerna itu, man jadda wa jada ; sesiapa yang berusaha pasti akan berjaya. Itu sunatullahMu yang Kau hadiahkan buat hambaMu yang berusaha. Akan ku siap siagakan usaha sehabis daya dan akhirnya penyerahan penuh kehambaan hanya kepadaMu, Tuhan pemilik sekalian alam.

Akhir kalam ku Tuhan, kan ku cari ruang mustajab merafak doa kepadaMu,dengan penuh pengharapan hanya Kau yang mampu merealisasikan segalanya. Ku pohon keampunan kekhilafan dan kelemahan diriku sebagai hamba di bumi Tuhan.

Sekian, Allahuakbar

Hamba Allah




Monday, November 7, 2011

Ceritera Ukhuwah Musim Bunga

Merenung bunga- bunga mekar lewat Musim Bunga,
melekakan redup mata yang memandang,
hingga terlupa akan ada akhir sebuah pertemuan
seperti tamatnya kisah musim bunga ini bila musim panas menjelang

Kisah Musim Bunga kali ini,
bukan baru bermula tapi akan bakal berakhir
kisah yang awalnya dimulai dengan lafaz Al-Fatihah
kan berakhir dengan Tasbih Kafarah
Bukan hanya kisah Musim Bunga antara si kumbang dengan si flora
Bukan juga kisah teruna dan dara
Tapi kisah ukhuwah kerana Allah yang begitu menguja
hingga benar - benar buat KITA terlupa
musim panas makin menghampiri kita.

Kekanda,
Terasa ingin sekali ku sujud merayu pada Ya Rabb
Jangan, Jangan ditamatkan Musim ini
Biar ia kekal begitu seperti ukhuwah kita yang makin kian mekar
seperti mekar si mawar merah di taman yang sering kita lawati.
Namun aku sedar,
ia takkan pernah terjadi kerna sunnah alam tetap menuruti perintah Ilahi

kekandaku,
biarlah, biarlah ceritera Musim bunga hanya sampai di sini
biarkan tasbih kafarah dilafaz walau berat di hati
kerna aku pasti ukhuwah kita bukan seperti bunga, mekar namun akhirnya layu dan gugur ke bumi
Ukhuwah kita manifestasi iman berpasakkan Rabbul Izzati
Akan terus berkembang walau musim mana yang mendasari
Akan terus bercambah dari hari ke hari
Walau di batasi jarak dan masa nanti
Selagi IMAN DAN ISLAM menjadi pegangan hakiki.

Maralah kekandaku ke medan amal yang sebenar
Akan ku turuti suatu hari nanti
Bergabung denganmu mengemaskan barisan kita
Mengerat ukhuwah yang pernah terjalin
Andai ditakdir kita tak sempat bersama
Izinkan daku menjadi temanmu di Syurga...



Tuesday, November 1, 2011

Wanita Dunia

Kita ini wanita DUNIA,
Diamanahkan TUHAN untuk berIBADAT dan menjadi KHALIFAH
Moga kita kan terus menjadi wanita DUNIA yang taat dalam berIBADAT dan menjadi KHALIFAH..

Kita ini wanita DUNIA,
Dihiasi INDAH dengan kecantikan WAJAH dan terpelihara MARUAH
Moga kita akan selalu MENJAGAnya dengan AURAT dan AKHLAK MULIA..

Kita ini wanita DUNIA,
Diberi 9 NAFSU dan 1 AKAL
Moga AKAL yang SATU sentiasa meMIMPIN  9 NAFSU berlandaskan AKIDAH dan SYARAK..

Kita ini wanita DUNIA,
Yang bakal menjadi seorang ISTERI dan IBU
Moga kita dapat menjadi ISTERI yang SOLEHAH dan IBU yang SOLEHAH untuk melayakkan KITA menjadi WANITA DI SYURGA ~ Insya Allah




Umar Al - Khattab : Mujahid Pembela Kebenaran

Menjemput hati ke ruangan cerita

Suatu ketika Umar ditegur seorang lelaki dari bani zuhrah, Nu'aym B. abdullah namanya.
Katanya, adik perempuan Umar yg bernama Fatimah telah masuk Islam bersama suaminya.
Tatkala mendengarnya, marah Umar bukan kepalang, terasa hina dikhayalak semua
Mara beliau mencari adiknya hingga terlupa tujuan asal membunuh baginda

Sampai di rumah Fatimah, kedengaran...
(Bacaan surah Thaha ayat 13-14)

Luluh hancur mengalir air mata
Islamlah Umar di hadapan Rasullulah



Kuasa Maha pencipta tak siapa mampu menghalang
Untuk sejalur cahaya menyuluh hati sang helang
Kata-kata cinta dari Dia melunak rasa seorang hamba
Kini terasa hina dan dina
Atas segala kedurhakaan pada Yang Maha Berkuasa
Tunduk dia merendah jiwa.

Benar sabda baginda
Andai jahiliyahmu hebat di mata mereka
Kini keislamanmu memandu hebat ke jalan sempurna
Kau penolong sahabat setia
rela menongkah arus durjana
demi Islam berdaulat semula

Tak siapa kan menjangka
Hati sekeras batu kini lembut sujud di atas sejadah cinta
Basah bibirmnu melafaz asma yang esa
bah wajahmu dengan linangan air mata
Gentar dirimu tatkala baginda bicara "semua ke syurga kecuali dia"
Kerna kau bimbangi dialah dirimu

Siangmu bagai singa di rimba
Malammu bagai rahib merintih sayu
Bukan harta,pangkat dan dunia yang kau damba
Tapi cinta Allah dan Rasulnya bersatu dihatimu

Kaulah Umar Pahlawan pembeda
Antara Yang Hak dan Yang Batil.

 Tribute WT'11 : Menyingkap Tabir Di bumi Australia

Ramadan Dua Zaman

Ramadan dua zaman
melatari 2 episod kehidupan
kisah dalam pentas dunia yang sama
dengan pelakon dan skrip yang berbeda
variasi warna dan rasa

Ramadan dua zaman
Buat kita mengembara ke dua waktu
Antara lipatan sejarah agung dan cerita masa kini
Antara seerah mulia kenabian dan cerekarama seorang insan
Dan kita menjadi penyaksi kepada natijah mereka

Ramadan dua zaman
asbab iman untuk menilai
antara kaca dan permata
asbab hati untuk muhasabah
nilai ramadan di sisi Dia
kerana di zaman ITU ramadan amat dirindui dan dihayati
dan di zaman INI ramadan ibarat datang tak diundang pulang tak di halang
Dan kita berada di zaman INI.

Ramadan zaman pertama
dihiasi alunan suci kalam Tuhan
di hening sunyi tafakur atas sejadah keimanan
berlumba mencari kenikmatan malam 1000 bulan
Infak dan sedekah manifestasi ukhuwah kerana Allah
dan puasa melebihi menahan lapar dan dahaga
kerana ramadan rahmat dan hadiah dari yang Maha Pemurah

Ramadan zaman kedua
ialah kisah makanan melimpah ruah
bukan rezeki untuk si miskin dan yatim
tapi untuk penuhi perut sendiri lantaran seharian menahan letih
puasa hanya lapar dan dahaga
tapi mata, hati, tangan dan lidah tetap melakar dosa
siangnya berlagu irama riuh pekik pedagang berjual
malamnya berdendang dengkuran kenyang terlantar

Masa akan terus melangkah
Waktu akan terus menginjak
Tinggal kita untuk melihat dan mentafsir
kisah episod ramadan dua zaman


~Adelaide:19.10,Ramadan 7
srikandi ummah

Tuesday, October 18, 2011

Musim Bunga kali ini

Berjalan seorang diri ditemani bunga-bunga indah musim "spring" kala pulang daripada tempat daku bekerja sambilan membuatkan mata bagaikan disihir dengan warna-warni flora yang begitu mengasyikkan. Terasa lelah membersihkan rumah majikan seakan hilang dengan aroma terapi lavender dan mawar yang kian mengembang. Subhana Allah, betapa Maha Suci Allah yang menciptakan keindahan Musim Bunga untuk meraikan fitrah hambaNya yang sukakan keindahan dan sesungguhnya Dia Maha Indah.




Merenung kelopak Mawar Merah Jambu yang gebu berkembang terasa seperti ada sesuatu yang hadir dalam diri. Sesuatu yang indah dan damai seperti Musim Bunga. Setiap hari dalam Musim Bunga bagaikan berada dalam ketenangan dan kedamaian. Masakan tidak, Musim Bunga yang menjanjikan erti memberi dan menerima. Bunga - bunga harum memberi rasa manis madu kepada sang kumbang dan sang kumbang menerima dengan pertolongan menyebarkan benih-benih bunga ke seluruh pelosok alam. Bukankah di situ terdapat ibrah untuk yang berhikmah?






Rasa hati untuk memberi dan menerima itu ikut berkembang seperti bunga - bunga Musim Bunga ini dan kian bertambah dari hari ke hari. Membiarkan tanpa penjagaan, bimbang kan nanti kembangnya hanya sementara dan mungkin kan layu tanpa perhatian atau hanya terbiar tumbuh liar. Menjaganya dengan penuh kemanjaan, risau nanti membawa mudarat kepada penjaganya. Maka itu, rasa ini perlu diurus dengan keimanan dan ketakwaan, kerana itu pandangan neraca dari Tuhan yang takkan pernah tersilap.

Menjaga bunga - bunga Musim ini perlukan persediaan yang lengkap dan rapi. Biar jangan tergopoh kerana lembutnya kelopak bunga dan rapuh batangnya. Biar nanti Musim Panas yang datang bunga - bunga ini masih terus berkembang dan makin erat akarnya mencengkam  tanah. Kerna itu, daku berazam untuk Bunga Musim kali ini izinkan untuk dahan-dahan itu terus bercambah dan menjadi tempat bunga berpaut untuk berkembang dan mekar kerana itu fitrah alam  dan permulaan kepada sebuah kehidupan.






Dengan nama Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang daku mulakan perjalanan ceritera sebuah persediaan, Insya Allah

Bila Tuhan sudah mengizinkan
 ~Srikandi