Tuesday, October 18, 2011

Musim Bunga kali ini

Berjalan seorang diri ditemani bunga-bunga indah musim "spring" kala pulang daripada tempat daku bekerja sambilan membuatkan mata bagaikan disihir dengan warna-warni flora yang begitu mengasyikkan. Terasa lelah membersihkan rumah majikan seakan hilang dengan aroma terapi lavender dan mawar yang kian mengembang. Subhana Allah, betapa Maha Suci Allah yang menciptakan keindahan Musim Bunga untuk meraikan fitrah hambaNya yang sukakan keindahan dan sesungguhnya Dia Maha Indah.




Merenung kelopak Mawar Merah Jambu yang gebu berkembang terasa seperti ada sesuatu yang hadir dalam diri. Sesuatu yang indah dan damai seperti Musim Bunga. Setiap hari dalam Musim Bunga bagaikan berada dalam ketenangan dan kedamaian. Masakan tidak, Musim Bunga yang menjanjikan erti memberi dan menerima. Bunga - bunga harum memberi rasa manis madu kepada sang kumbang dan sang kumbang menerima dengan pertolongan menyebarkan benih-benih bunga ke seluruh pelosok alam. Bukankah di situ terdapat ibrah untuk yang berhikmah?






Rasa hati untuk memberi dan menerima itu ikut berkembang seperti bunga - bunga Musim Bunga ini dan kian bertambah dari hari ke hari. Membiarkan tanpa penjagaan, bimbang kan nanti kembangnya hanya sementara dan mungkin kan layu tanpa perhatian atau hanya terbiar tumbuh liar. Menjaganya dengan penuh kemanjaan, risau nanti membawa mudarat kepada penjaganya. Maka itu, rasa ini perlu diurus dengan keimanan dan ketakwaan, kerana itu pandangan neraca dari Tuhan yang takkan pernah tersilap.

Menjaga bunga - bunga Musim ini perlukan persediaan yang lengkap dan rapi. Biar jangan tergopoh kerana lembutnya kelopak bunga dan rapuh batangnya. Biar nanti Musim Panas yang datang bunga - bunga ini masih terus berkembang dan makin erat akarnya mencengkam  tanah. Kerna itu, daku berazam untuk Bunga Musim kali ini izinkan untuk dahan-dahan itu terus bercambah dan menjadi tempat bunga berpaut untuk berkembang dan mekar kerana itu fitrah alam  dan permulaan kepada sebuah kehidupan.






Dengan nama Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang daku mulakan perjalanan ceritera sebuah persediaan, Insya Allah

Bila Tuhan sudah mengizinkan
 ~Srikandi

Monday, October 3, 2011

Mencari Salahuddin dalam Diri



Daripada, tinta sejarah emas, sirah nubuwwah, menceritakan kepada kita semua,kisah perjalanan mulia Rasul tercinta, dari Masjidil Haram di Kota Mekah, ke Masjidil Aqsa di Palestin. Kemudian, berangkatlah Rasullulah bertemu Allah, menuju ke langit meninggalkan Al-Aqsa sebagai saksi, saksi sebuah pengembaraan menuju Ilahi.

18 tahun Masihi selepas itu, perjanjian Umariyya bercerita pula kepada kita semua, kehebatan Khalifah Umar Al – Khattab membebaskan bumi Palestin, tanpa ada setitis darah yang terkorban, dan sekali lagi, Masjidil Aqsa menjadi saksi, kekuatan umat Islam yang berpaksi pada Rabbul Izzati.

Tanggal 27 Rajab 583 Hijrah, terukir nama pahlawan jihad fisabillilah, Salahuddin Al – Ayubi membebaskan bumi suci Palestin dari tangan rakus kuffar laknatullah, dan untuk kesekian kalinya, Al-Aqsa kembali menjadi saksi Islam berpaling dari jahiliyah.

 
 
 
Hari ini, setelah beratus-ratus helaian lembaran emas kita selak, yang tinggal pada muka terakhir sebuah kitab sejarah, hanyalah aksara huruf  yang tidak pernah berubah. Kisah Palestin yang kembali dirampas, dirobek penjajah dan kali ini, Al-Aqsa hanya menjadi saksi ratapan si kecil dan wanita tua di celah mayat Syuhada’

Lihatlah dunia, apa yang terjadi kepada kami di sini!! Bukan salah kalian??Salah kami yang tak mempertahankan Negara sendiri?? Salah kami yang lemah membenarkan diusir di bumi sendiri??
Tapi, mengapa? Salahuddin Al-Ayubi, pemuda berdarah Kurdish bisa sahaja bermandi darah mempertahankan tanah air Palestin walau bukan tanah kelahirannya sendiri?



Saudara saudari Islam sekalian,
Sedarlah,
Peperangan ini bukan perang mempertahan Palestin semata
Peperangan ini bukan perjuangan rakyat Palestin sahaja
Peperangan ini bukan hanya darah dan air mata
Tetapi, ini adalah perjuangan maruah agama, jihad kerana Allah, merentasi sempadan budaya dan geografi Negara.

Kerna itu,
Mencari Salahuddin bukan hanya pada jiwa anak muda Palestin
Mencari Salahuddin bukan hanya  berperang mengangkat senjata
Mencari Salahuddin bukan pada lepak,dadah dan tempat hiburan
Mencari Salahuddin bukan menunding jari pada orang lain
Mencari Salahuddin bukan bermakna seorang wanita harus berubah menjadi lelaki
Tetapi, mencari Salahuddin dalam diri wanita ialah cita –cita seorang muslimah untuk melahirkan dan mendidik seorang Salahuddin
Mencari Salahuddin sebenarnya bukan pada dia, beliau atau mereka
Mencari Salahuddin adalah mencari erti Islam pada diri kita
Memahami Islam bukan pada agama dan bangsa semata
Tetapi, Islam sebagai cara hidup yang syumul dan mulia


Kan tiba suatu masa, Salahuddin kembali membebaskan bumi suci Al-Quds, dan Palestin menjadi milik umat Islam semula sehigga Islam kita daulatkan.