Sunday, November 25, 2012

Palestin: Aku dan Mereka

Kita gempar lagi
Dengan berita daripada tanah sekangkang kera
Kisah penganiayaan manusia yang tak surut
Dari generasi ke generasi
Terus menerus berterusan
Menyampaikan kepada kita
Mereka masih belum bebas!

Kita gempar lagi
Tapi sebenarnya kita sahaja yang baru gempar dengan kisah mereka
Mereka tak pernah terkejut untuk diserang
Mereka tak pernah rasa pelik untuk peluru lagi bertandang
Mereka tak pernah serik untuk menentang
Kisah perjuangan mereka memang sudah jadi resam budaya
Cuma kita yang bagai tersedar dari lena yang panjang
Mereka diserang lagi

Sebenarnya sahabatku,
Aku tidak pernah 'kisah' dengan air mata dan darah derita mereka
Mungkin kau akan mengata aku tak peduli
Mungkin kau bilang aku tak simpati
Mungkin kau label aku tiada hati
Saudara seperti apa aku ini???

Tetapi percayalah saudariku,
Untuk apa aku takut mereka diserang
andai mati mereka nanti ialah mati memperjuang agama
Untuk apa aku pilu dengan syahid anak tak berdosa
andai nanti Tuhan  sudah berjanji syurga buat mereka
Untuk apa aku ragu suatu masa mereka akan aman semula
kerana itu janji Tuhan kepada kita

Apa yang ku bimbang ialah KITA sebenarnya
Di mana nilai kita sebagai hambaNya?
Di mana perjuangan kita untuk agama?
Di mana akhir kita nanti bila sampai ajalnya?
Kita cakna bila kita terjaga daripada lena dengan gempar mereka
Lalu bila mereka dicanang sudah dimeterai perjanjian damai dengan musuh laknatullah
Kita kembali lena semula
Nanti suatu masa heboh mereka diserang lagi
Terjagalah kita semula
Bagaikan kisah mereka 'jam loceng' yang membangkitkan insan daripada lena
Hanya bersifat sementara

Sahabatku yang disayangi,
Mereka takkan pernah aman
selagi kita masih ditakuk lama
Kisah perjuangan mereka bukan kisah perjuangan membebas negara semata
Tapi petanda kondisi ummat sebenarnya
Andai wahan (takut mati dan cintakan dunia) masih menyelimuti kita
Jangan kita mimpi Palestin akan merdeka!

Aku menulis dan berkata,
maka akulah yang pertama akan ditanya
Sudahkah aku menyempurnakannya?...





0 comments: