Monday, November 28, 2011

Warkah Kepada Tuhan


Kehadapan Tuhanku Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, ku menadah tangan memohon perlindungan dan kesejahteraan dunia dan akhirat.

Tuhanku Yang Maha Mendengar,
Hambamu ini yang hina dan lemah menulis  kepadaMu Tuhanku yang Maha Mulia dan Maha Kuat mengenai urusan duniaku yang penuh mehnah dan ujian. Kau ciptakan hambamu ini ke dunia dengan tujuan yang telah kau nyatakan jelas dalam Al- Quran. Mafhum FirmanMu dalam Surah Adzaariat, ayat 56 yang berbunyi:
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku “

Dengan itu, ku tetapkan solatku, ibadatku, hidupku dan matiku keranaMu. Namun Tuhanku, perjalanan memanifestasi tujuan hidupku tidak semudah  mengimpikan pelangi selepas hujan. Bagaikan berlayar  di lautan yang bergelora dipukul ombak, penuh cabaran dan rintangan. Mencari arah daratan agar tak tersesat dalam menentukan haluan. Justeru, ku cari azimat dalam wahyu cintaMu pada RasulMu, ku temui firman agungMu dalam surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud:

”Jika engkau telah menetapkan keputusan, hendaklah kemudian bertawakal kepada Allah”

Tuhanku Yang Maha Pengasih,

Indahnya  hidup berTuhankanMu. KasihMu pada hambaMu melangit luas,penuh rahmat dalam ujian. Resah hati hambaMu kau rawati dengan pergantungan tak berbelah bahagi kepadaMu Tuhan. Kerna hanya Kau Tuhanku yang mengetahui hal yang terbaik untuk hambaMu.

Tuhanku Yang Maha Memberi,

Ku sedari Syurga itu mahal harganya. Takkan dapat digapai tanpa berusaha. Kerna itu, man jadda wa jada ; sesiapa yang berusaha pasti akan berjaya. Itu sunatullahMu yang Kau hadiahkan buat hambaMu yang berusaha. Akan ku siap siagakan usaha sehabis daya dan akhirnya penyerahan penuh kehambaan hanya kepadaMu, Tuhan pemilik sekalian alam.

Akhir kalam ku Tuhan, kan ku cari ruang mustajab merafak doa kepadaMu,dengan penuh pengharapan hanya Kau yang mampu merealisasikan segalanya. Ku pohon keampunan kekhilafan dan kelemahan diriku sebagai hamba di bumi Tuhan.

Sekian, Allahuakbar

Hamba Allah




0 comments: